Rabu, 28 September 2011

Dari Meja Cuepacs

Bernama
27/9/2011


GEORGE TOWN, 27 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin 80 peratus daripada empat tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan akan mendapat pertimbangan dalam pembentangan bajet 2012 pada 7 Okt ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata pihaknya telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas dan mengharapkan berita baik bakal diumumkan bagi menjaga kepentingan penjawat awam di negara ini.
"Ini adalah keputusan kongres berdasarkan kepada permintaan dari penjawat awam, saya harap ia dapat dipertimbangkan malah Skim Saraan Malaysia (SSM), dapat digubal semula untuk menjadi lebih baik dari segi penambahan gred, struktur gaji dan peningkatan peluang kerjaya bagi mencapai negara berpendapatan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bersama CUEPACS Pulau Pinang di sini, Selasa.
Tuntutan tersebut adalah semakan semula SSM, menaikkan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam dan pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Omar berkata Cuepacs juga yakin dengan keprihatinan Perdana Menteri dan kemampuan kerajaan dapat memenuhi tuntutan itu yang sememangnya diharap-harapkan oleh lebih 1.2 juta penjawat awam.
"Kesemua tuntutan itu tertakluk kepada kemampuan kerajaan dan tidak mustahil untuk ditunaikan kerana ada tuntutan yang tidak membabitkan kewangan," katanya.
Berkenaan tuntutan pemberian bonus dua bulan, katanya jika kerajaan berbuat demikan, ia akan mencipta sejarah baru dalam memenuhi permintaan penjawat awam.
"Diharap (bonus) dapat dipertimbangkan, kalau tidak dapat bonus dua bulan, sekurang-kurangnya (kerajaan) dapat memberi bonus sebulan atau sebulan setengah pun sudah dikira mencukupi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan